Cerita Cerita Seram~~

Tuesday, July 20, 2010

1. Budak Bogel Muncul Di Padang

Sudah lewat petang. Tidak lama lagi azan Maghrib akan berkumandang, namun Rosli tetap meneruskan kerja mencuci sebuah lori milik syarikat tempatnya bekerja yang perlu disiapkan pada petang itu juga. Rosli yang baru sebulan bekerja di ladang ternakan lembu di Kampung Bukit Pak Kuning, dekat Kuala Ketil, Kedah, ditugaskan mencuci kenderaan terbabit kerana sudah lama tidak dicuci.

Dengan menggunakan air disediakan dalam kolam berhampiran kandang yang menempatkan ternakan itu, beliau meneruskan kerja walaupun bersendirian, kerana pekerja lain sudah pulang ke rumah masing-masing.

Ketika asyik mencuci lori itu, dia berasa seolah-olah ada orang memerhatikan gerak-gerinya. Dipantaunya persekitaran, tetapi yang dilihat hanya suasana semakin samar dan hening.

“Ketika membongkok mencuci tayar, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti binatang meragut rumput. Sebaik menoleh ke arah bunyi itu, alangkah terkejutnya apabila ternampak dua ekor kerbau merenung ke arah saya.

“Terasa badan menggeletar kerana setahu saya, tiada binatang berkenaan dipelihara di ladang itu. Walaupun ketakutan, saya kuatkan semangat memerhatikan kerbau yang berwarna hitam pekat itu,” katanya ketika ditemui di ladang terbabit, baru-baru ini.

Ketika berdepan kehadiran binatang yang datang entah dari mana itu, dirinya diresap dengan pelbagai andaian membuatkan keberaniannya tercabar.

Yakin dengan apa yang dilihatnya bukan kerbau biasa, Rosli berundur setapak demi setapak ke bahagian belakang lori bagi mencari jalan untuk memboloskan diri dari situ.

Ketika bersembunyi di belakang lori, dia mengintai dari celah kenderaan itu kerana bimbang diekori kerbau terbabit. Sekali lagi dia terkejut kerana binatang itu sudah ghaib.

Kebetulan bunyi azan kedengaran dari masjid berhampiran. Tanpa membuang masa, Rosli meluru ke arah motosikalnya lalu menghidupkan enjin meninggalkan ladang berkenaan.

Ketika menunggang motosikal jenis kap cai yang terpaksa melalui jalan tanah merah, perasaan takut menghantui dirinya. Beliau bimbang dihalang binatang itu di tengah jalan. Kalau itu berlaku, tak tahulah apa yang terjadi ke atas dirinya.

Disebabkan ketakutan, motosikal yang ditunggangnya nyaris terbabas. Bagaimanapun, dia dapat mengawalnya dan
selamat sampai di rumah yang disewa tidak jauh dari kawasan ternakan lembu itu.

Rosli yang berasal dari Kampung Kuala Pegang, dekat Baling, tidak lagi berani pulang lewat petang sejak mengalami kejadian menyeramkan itu. Kalau banyak kerja, dia akan menyiapkannya sebelum senja. Berikutan peristiwa itu, lama juga perasaannya terganggu. Dia yakin kalau kerbau liar sekalipun, tentu haiwan itu tidak akan muncul dalam keadaan menakutkan.

Lagi pun, dia bukan tidak biasa dengan kerbau dan lembu. Sebagai anak desa, Rosli tahu dan memahami habitat ternakan itu. Disebabkan memikirkan tanggungjawab untuk menyara isteri dan anak, apatah lagi tidak mempunyai kelulusan tinggi, beliau terus bekerja dengan syarikat berkenaan.

Gaji diterima agak baik, selain sikap majikan yang boleh dibawa berunding, membuatkan dia tidak bercadang mencari peluang pekerjaan di tempat lain. Bagaimanapun, pengalaman didatangi sepasang kerbau itu bukan kali pertama dialaminya. Sebelum itu, Rosli pernah diuji dengan peritiwa yang membuatkan bulu romanya menegak kerana ketakutan.

Suatu malam, kira-kira jam 11.30 malam dia pergi ke ladang itu bersendirian untuk memeriksa enjin pengepam air. Terasa cuak juga tapi kerana tugas, beliau mengetepikan usikan gementar hatinya.Suasana malam itu agak gelap kerana bulan tidak mengambang penuh. Namun, dia terus melakukan kerja bagi memastikan jentera terbabit dapat berfungsi dengan baik.

Ketika menuju ke arah kandang lembu, Rosli ternampak seperti seorang budak berjalan di kawasan padang ragut yang jaraknya kira-kira 800 meter dari kandang itu.Dalam samar-samar cahaya bulan, dia mengamati apa yang dilihatnya. Keyakinan dirinya teruji kerana mustahil seorang budak berani berjalan seorang diri pada waktu malam di kawasan terpencil itu.

Perasaan ingin tahu apa yang sebenar dilihat menguasai dirinya. Dengan menggunakan lampu picit, dia menyusuli budak itu. “Ya Allah! Apa benda ni!” terkeluar suaranya dalam ketakutan apabila yang dilihat ialah seorang budak menjinjing seketul tulang sebesar betis.

Budak itu yang berbogel terus berjalan menuju ke arah belukar bersempadankan kebun getah di pinggir padang ragut berkenaan. Tanpa berfikir panjang, Rosli buka langkah seribu meninggalkan tempat itu.

Bagaikan dikejar anjing gila, Rosli mempercepatkan langkah menuju ke bangsal lembu. Sebaik sampai, dia terus menerpa motosikal dan memecut pulang ke rumah.

“Saya memberanikan diri menjejaki ‘budak’ itu kerana tiada tanda-tanda pelik seperti bau busuk sepertimana kejadian yang dikaitkan dengan makhluk halus.

“Mungkin menyedari kehadiran saya, budak itu hilang sekelip mata. Apa tunggu lagi... cabutlah!,” kata Rosli sambil ketawa kecil.

Rosli berkata, sepanjang usianya 25 tahun, pengalaman aneh bekerja di ladang terbabit dianggap sebagai asam garam kehidupan yang dapat meningkatkan kematangan dirinya.Katanya, ada hikmah tertentu di sebalik peristiwa berkenaan, yang mana mungkin Tuhan ingin menguji kekuasaanNya menjadikan alam semesta ini dengan pelbagai kehidupan, termasuk makhluk halus.

Justeru, beliau menggangap apa yang dialaminya boleh menginsafkan dirinya, mengenai kehadiran makhluk lain ciptaan Tuhan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.


2. Berdailog Dengan Jin Dari Baghdad


Bulu romanya meremang. Tanpa menghiraukan apa yang berlaku, Pak Itam meneruskan khutbah. Dia tidak dapat menghentikan khutbahnya dan terus bercakap. Rasa hairan timbul dalam benak fikirannya, suaranya jadi garau, tetapi begitu fasih berbahasa Arab. Padahal, Pak Itam tidak pernah belajar bahasa itu. "Kerasukan ini seakan menjadi sebahagian dalam kehidupan saya, hampir setiap hari jin itu akan hadir dan member! ceramahnya kepada sesiapa sahaja yang ada berdekatan dengannya.
Ayah saya cuba mengubatinya dengan membawa beberapa orang bomoh dan ustaz tetapi malangnya, jin itu semakin agresif," ujar Pak Itam ketika bertemu dengan Prof Dr Shahrin Abdul Rahman atau dikenali sebagai Ustaz Shahrin. Sememangnya kehebatan Ustaz Shahrin dalam mengubati penyakit-penyakit 'halus" ini memang tidak dapat dinafikan.

Pak Itam bertemu Ustaz Shahrin. Di Klinik Qalbun Salim di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa, Pak Itam ditenteramkan oleh Ustaz Shahrin. Ketika itu, Pak Itam dipapah oleh beberapa kawan yang menemaninya. Mukanya pucat dan mengigil. Sewaktu Ustaz Shahrin memegang Pak Itam, dia terasa sesuatu seperti kejutan elektrik. "Saya minta keluarga Pak Itam menebuk dua biji kelapa muda, menyediakan alat mandian untuk Pak Itam. Bila siap kesemuanya, saya akan memulakan rawatan dengan meminta pesakit membaca istighfar 100 kali, selawat 100 kali dan kalimah toyyibah 100 kali sebagai proses pembersihan dan sementara itu saya menjalankan ritual untuk mengeluarkan jin dari badan Pak Itam," jelas Ustaz Shahrin sambil didengari oleh beberapa orang rakan Pak Itam dan ahli keluarganya.

Sewaktu Ustaz Shahrin membaca 70 kali ayat Kursi, Pak Itam terus kerasukan, tetapi tidak agresif. Watak jin bertukar-tukar. Ustaz Shahrin yakin, jin itu juga berbeza-beza. Tetapi jin terakhir sekali itulah jin induk kepada jin-jin lain yang bernama Abdul Qahar. Ketika jin Abdul Qahar dirukyahkan (dibacakan beberapa ayat dari al-Quran), jin itu berbicara dalam pelat Arab Melayu. Jin mengatakan datang dari Baghdad. Cuma sudah lama bermastautin di Kota Bharu.

Bila Ustaz Shahrin tanya bagaimana jin itu boleh merasuk ke dalam badan Pak Itam, kata jin yang lebih kurang maksudnya, "siapa suruh Pak Itam membaca wirid tanpa ada panduan dari orang yang pandai tentang hikmah. Jadi sebab itulah aku (Jin Abdul Qahar) merasuknya." Barulah Ustaz Shahrin tahu, selama ini Pak Itam mengamalkan bacaan wirid tanpa mendapat panduan guru atau orang yang bijak pandai dalam pengamalannya. Pak Itam telah membeli beberapa buah buku wirid dan mengamalkan secara berlebih-lebihan serta menambah bilangan wirid mencapai ribuan.

Berlakulah sesi dialog antara jin dan Ustaz Shahrin. Ustaz Shahrin telah mengambil pendekatan "memujukf dan tidak memaksa. Jin itu diberi tempoh untuk keluar dari badan Pak Itam dalam tempoh seminggu. Dalam pada itu, Pak Itam telah dimandikan dengan bahan-bahan yang telah dijampi dengan ayat-ayat suci al-Quran. Seminggu lagi, Pak Itam kembali semula. Ketika itu, jin Abdul Qahar datang dan berjanji akan keluar pada hari itu juga dan tidak akan mengganggu Pak Itam. Ustaz Shahrin meminta Abdul Qahar supaya pulang ke Baghdad untuk berkhidmat di negaranya yang asal bersama dengan kumpulannya. Kini Pak Itam telah pulih seperti sedia kala dan dapat menjalani kerja dan penghidupan sehariannya dengan baik.

"Jangan mengamalkan sesuatu wirid atau mempelajari sesuatu ilmu itu tanpa guru yang membimbing. Dapatkan guru yang betul-betul arif dalam bidang tersebut walaupun secara jarak jauh," nasihat Ustaz Shahrin kepada Pak Itam.


3.Padah Mulut Celupar


Sudah banyak kali Sidek menasihati Leman supaya jangan suka cakap besar dan bermulut celupar ketika bekerja menjaga enjin pam air yang disalurkan untuk menyiram pokok anak sawit di tapak semaian. Bagi Sidek, tiada gunanya bercakap besar dan bermulut celupar terhadap hantu atau syaitan. Jika tersilap cakap, ia boleh membawa padah kepada diri sendiri.

Sewaktu bersekolah dulu, Sidek pernah mendengar kata-kata yang diucapkan seorang ustaz bahawa hantu atau syaitan adalah makhluk yang wujud secara ghaib dan kewujudannya ada diterangkan dalam al-Quran.

Namun, yang jelas Leman bukan mudah makan nasihat. Enjin pam air itu terletak dalam sebuah bangsal beratap zink kira-kira dua kilometer dari rumah tempat tinggal pekerja ladang.

Sidek menjaganya pada sebelah malam, manakala Leman pada siang. Oleh kerana siang ada perkerja lain bekerja di tapak itu, Leman tidak berasa takut.

Disebabkan inilah, Leman celupar mulutnya dan suka bercakap besar. Lebih teruk lagi, dia suka menakut-nakutkan Sidek.

Bagi Sidek, dia bukan macam Leman. Orangnya peramah dan sukar mendengar dia mengutuk orang atau mencaci-cerca siapa saja. Dia juga tidak suka cakap besar. Jadi, tiada sebab kenapa dia perlu takut dengan makhluk Allah itu.

Bahkan, buku kecil mengandungi surah Yasin serta doa sentiasa ada bersamanya ketika bekerja menjaga enjin pam air itu. Dia rajin membaca surah Yasin sementara mata mengantuk.

Sidek percaya makhluk Allah yang ditugaskan untuk menggoda dan menyesatkan manusia tidak berani menghampiri orang yang membaca al-Quran dan sentiasa berdoa kepada Allah meminta perlindungan dariNya.

Walaupun Sidek sempat bersekolah setakat darjah enam, ilmu yang ada cukup untuk menjadi panduan hidup serta bersyukur dengan kerja yang dilakukan. Ini kerana kerja itu sesuai bagi orang yang tidak berkelulusan tinggi sepertinya.

“Macam mana semalam dek? Ada tak hantu kacau kau? Kalau ada, kau panggil aje aku, nanti aku pulas telinganya,” kata Leman ketika mengambil alih tugas daripada Sidek suatu pagi.

“Alhamdulillah, aku tak ada apa-apa. Aku sentiasa berdoa kepada Allah supaya dijauhi daripada gangguan makhluk penggoda itu. Setakat ini tiada masalah lagi,” balas Sidek berlalu pergi meninggalkan Leman yang macam terpinga-pinga.

Sebelum ini Sidek dengar, ada pekerja yang menjaga enjin pam air itu diganggu. Ramai pekerja yang ditugaskan menjaga enjin pam air itu meminta majikan menukar mereka ke bahagian lain. Ada juga yang sanggup berhenti kerja kerana tidak tahan.

Antara gangguan yang mereka alami ialah pekerja yang tidur pada malam itu diangkat dari bangsal dan diletak dipinggir hutan berdekatan. Ada juga cerita menyatakan dada mereka ditekan oleh makhluk itu.

Kira-kira jam 11 pagi selepas mengambil alih tugas daripada Sidek pada pagi itu, Leman yang ada di bangsal enjin pam air itu berasa sangat mengantuk. Ketika itu, pekerja lain berehat di tapak semaian.

Leman tertidur di bangsal itu. Kira-kira jam 2.30 petang, pekerja di tapak semain itu mula pulang. Sebelum pulang, pemandu traktor mengangkat pekerja untuk pulang ke bangsal enjin pam air itu.

Pemandu berkenaan menyangka Leman sudah pulang kerana dia tidak kelihatan di bangsal itu.

Kira-kira jam enam petang, isteri Leman pergi ke rumah Sidek untuk bertanya kenapa suaminya belum pulang lagi.

Sidek mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kepada kawannya. Dia mengajak seorang ‘mandor’ yang menjaga pekerja tapak semaian dan beberapa pekerja lain mencari Leman di bangsal berkenaan.

Sebaik sampai di bangsal enjin pam air itu, Sidek segera mencari Leman. Dia terkejut melihat Leman di atas bumbung bangsal.

Bagaimanapun, Leman sudah sedar daripada tidur tetapi tidak dapat turun dari bumbung bangsal.

Sidek kemudian mencari tangga kayu yang ada di sekitar bangsal untuk menurunkan Leman yang berwajah pucat kerana ketakutan.


4. Misteri Serindit Jinak


Beberapa orang bomoh yang datang ke rumah Cek Embung pun tidak berjaya menyembuhkan penyakit anaknya itu. Setiap malam Azri akan melolong kesakitan dan kepanasan. Dan keesokannya pasti badan Azri akan lebam-lebam di sekitar lengan, badan, leher dan kakinya. Anak-anak Azri terpaksa di tinggalkan di Johor sahaja memandangkan waktu persekolahan masih berjalan seperti biasa. Isterinya pula terpaksa menahan diri daripada menjaga Azri yang sedang sakit demi anak-anak.

Genap sebulan, Azri seakan tidak dapat menahan penyakitnya. Malam itu pekikannya cukup kuat sehingga mengejutkan jiran tetangga. Tercungap-cungap Azri menahan sakit. Dukun Awang memegang ibu jari kaki Azri. Wajahnya berkerut seakan curigakan sesuatu.

"Tolong... tolong jangan dekati saya. Lepaskan saya, saya janji tak akan ganggu kamu lagi," jerit Azri lama-kelamaan kian perlahan dan tidak berdaya.Di hujung serambi sekumpulan lelaki berkopiah tekun membaca surah Yasin. Harapan mereka agar anak Cek Embung sembuh semula. Sebaik selesai bacaan mereka, rontaan Azri pun sudah tidak kelihatan. Masing-masing memandang sesama sendiri; masing-masing tidak dapat menyembunyikan perasaan bersyukur sebaik tidak mendengar jeritan yang mengerikan seperti sebelumnya. Ketua kumpulan bangun mendapatkan Cek Embung.

Sayangnya bukan berita gembira yang mereka terima, sebaliknya Azri telah pun kembali ke rahmatullah pada malam itu juga. Isteri dan anak-anak hanya sempat bertemu jenazahnya sahaja. Ratapan isteri dan anak-anaknya begitu menyayat hati orang kampung. Walaupun demikian, misteri pemergian Azri masih belum ada jawapannya.

Seperti hujung-hujung minggu yang lain, Azri rasa tidak sabar mahu memikat burung di hutan Paloh. Kebetulan hujung minggu itu temannya, Razlan mempunyai hal yang lain. Puas dipujuk akhirnya Razlan mengalah juga dan menemani Azri memikat burung. Kebetulan cuaca elok sahaja pagi itu. Sesampai di hutan Paloh Azri telah memasang jerat yang biasa digunakan di perdu pokok-pokok kegemarannya. Sebaik selesai memasang perangkap, hujan renyai-renyai membasahi hutan Paloh. Azri dan Razlan berkejar cemas mencari tempat berteduh. Dari jauh Azri terpandang sebuah rumah kayu lama dan mengambil keputusan berteduh di situ.

"Kau tahu ini rumah siapa Razlan?" Tanya Azri spontan.
"Entahlah. Tapi aku pernah dengar cerita orang-orang kampung yang dekat pinggir hutan ni ada sebuah keluarga kaya. Ceritanya anak-anaknya semua enggan tinggal bersama emaknya yang dikatakan membela 'sesuatu'. Akhirnya emaknya sendirian tinggal di rumah pusaka yang besar itu," cerita Razlan seolah-olah tanpa sedar dirinya berada di dalam hutan. Dan dia sepatutnya menjaga tingkah laku dan bicaranya semasa dalam hutan.

"Entah-entah inilah rumah perempuan itu tak," jawab Azri sambil tangannya ligat bermain dengan sanggul emas yang dijumpai di serambi rumah.
"Hish kau ni Azri. Mulut tu janganlah celupar sangat. Kita ni tumpang berteduh saja kat sini. Yang kau ni dari tadi aku tengok asyik main sanggul tu buat apa. Janganlah berani-berani engakau sentuh apa-apa kat sini. Kita tak tahu itu siapa punya. Baik engkau letak balik," tegur Razlan. "Alan, aku bukannya nak ambil. Aku belek-belek saja. Aku bosanlah tak tahu nak buat apa ni," balasnya. Suasana sunyi beberapa minit menyelubungi keduanya.

"Razlan cuba kau tengok belakang badan aku nih. Ada hantu bertenggek ke? Apasal berat semacam aje," kata Azri memecah kesunyian. Terperanjat Razlan mendengar pertanyaan Azri. Geram pun ada. Rasanya seperti mahu menampar sahaja mulut celupar Azri itu. Tanpa berlengah, Razlan menukar tajuk perbualan. Tidak lama kemudian hujan kembali reda. Dan mereka berdua menuju ke setiap pokok yang telah di pasang perangkap tadi.

Walaupun Azri tidak dapat meneruskan hajat memikat burung, tetapi dia pelik kerana ada seekor burung serindit elok bertenggek di atas sangkar yang dibawanya. Tanpa berlengah Azri menangkap dan memasukkannya ke dalam sangkar. Setibanya di rumah, Azri menyimpan burung berkenaan. Tidak diberitahu pada sesiapa termasuklah isterinya tentang burung ajaib yang jinak itu. Seminggu selepas itu Azri mengalami mimpi pelik apabila seorang wanita tua mengarahkahnya memulangkan burung berkenaan di hutan Paloh.

Oleh sebab, hatinya terlalu ingin memiliki burung berkenaan dia enggan melepaskan. Perasaannya pun lain sekali sejak menyimpan burung serindit ajaib itu. Dan sejak itu Azri selalu sahaja mengalami lebam-lebam badan. Akhirnya dia dibawa pulang ke kampung halaman setelah tidak mampu untuk berdiri lagi.


5. Imej Ganjil Dalam Foto


Pelbagai kejadian pelik pernah menimpa dan berlaku kepada sesiapa saja di dalam hidup ini. Minggu ini beberapa kejadian pelik yang menimpa peminat fotografi, Sakel (bukan nama sebenar) elok dijadikan iktibar dan mungkin boleh merangsang fikiran kita berfikir sesuatu mengenai hal-hal luar dugaan yang boleh berlaku dalam kehidupan.

Sakel sebenarnya bukan orang baru dalam dunia fotografi kerana pernah mendapat latihan di sebuah universiti tempatan dan pernah juga bertugas sebagai jurugambar bebas.Minatnya dalam dunia fotografi sering membuatkan dia beberapa kali ke luar negara dan tempat tertentu di negara ini.

Antara kejadian pelik yang pernah dilalui Sakel ialah sewaktu merakamkan gambar sebuah kubur panjang, dikatakan kubur lama, yang terletak di hutan simpan di Tanjung Selamat, Port Dickson, beberapa tahun lalu.

Bertemankan seorang penduduk, Sakel mengharap sangat gambar yang dirakamnya dapat digunakan untuk penerbitan sebuah majalah berbahasa Inggeris keluaran negara luar.

Ini kerana sebelum itu, seorang rakannya yang bertugas di majalah berkenaan ada menyatakan tawaran menggunakan gambar Sakel untuk dimuatkan dalam edisi misteri dalam majalah yang terjual hampir seluruh dunia itu.

Ketika tiba di kawasan perkuburan lama yang dikelilingi hutan tebal, hanya beberapa meter dari laut itu, Sakel mengakui dirinya terasa lain. Ketika itu baru jam 4 petang.

“Kubur lama itu panjangnya lebih kurang empat meter, di atas tanahnya ada beberapa batu licin, mungkin sebagai nisan. Saya terus merakamkan gambar dari pelbagai sudut menarik. Tiba-tiba melintas seekor ular tedung berwarna hitam.

“Saya berasa ada keindahan dan seni di kawasan kubur itu. Saya yakin ia sesuai degan konsep yang dikehendaki kawan saya, seorang warga negara Hong Kong. Bila keadaan semakin gelap, kami pulang,” ceritanya.

Bagaimanapun, kejadian pelik berlaku esoknya apabila Sakel terkejut mendapati dua gulung filem yang dicucinya tidak langsung mengandungi gambar kubur lama. Sebaliknya kebanyakan gambar itu yang sedikit kabur memaparkan imej seekor labah-labah besar.

Kejadian pelik juga dilalui Sakel ketika dia cuba merakam gambar di sebuah makam lama di Kuala Selangor. Tidak pernah dalam sejarahnya terbabit dalam dunia fotografi lebih 15 tahun, kameranya tiba-tiba tidak berfungsi.

“Puas saya membetulkannya, tetapi kamera saya seperti dikunci. Kecewa dengan keadaan itu, saya turun ke bawah untuk ke kedai gambar meminta bantuan. Sebaliknya apabila tiba di kedai itu, kamera yang saya gunakan boleh berfungsi semula,” katanya.

Mulanya Sakel menyangkakan keadaan itu hanya kebetulan. Berikutan itu, dia naik semula ke atas bukit untuk merakamkan semula gambar makam berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan sama berulang. Kameranya masih seperti terkunci dan Sakel terus membatalkan hasratnya lalu segera pulang ke rumah.

Satu lagi kejadian pelik yang menimpa Sakel sejak terbabit dalam dunia fotografi ialah ketika dicabar merakam gambar objek bercahaya yang sering kelihatan pada waktu malam di pantai Port Dickson, di tempat yang sering menjadi pembuangan abu mayat.

Menurut Sakel, seorang kawannya mencabar dia merakamkan kejadian yang sering berlaku itu. Ini kerana dia beberapa kali cuba merakamkan fenomena itu, tetapi gagal.

Sakel cuba dengan segala kemahirannya merakamkan objek bercahaya yang melintasi beberapa kali dan hilang di ruang udara itu.

Satu kejadian pelik akhirnya berlaku keesokannya. Sakel berasa terkejut dan tubuhnya menjadi gementar apabila menatap setiap keping gambar yang dicuci. Mulanya dia seperti tidak percaya, tetapi dia melihat semula dengan menggunakan kanta pembesar.

Memang sah, satu lagi kejadian pelik dilaluinya. Satu imej lebih jelas dapat dilihat, tetapi bukan imej cahaya yang dirakamkannya.

“Ia imej seperti seorang bayi sedang terbang dan terawang-awang di udara dalam suasana gelap,” katanya.

Beberapa kejadian pelik yang dilalui Sakel bagaimanapun tidak pernah membantutkan impiannya untuk terus terbabit dalam dunia fotografi.

“Mungkin gambar atau kejadian pelik itu ada hikmahnya yang menuntut kita berfikir kebesaran
Tuhan!” kata Sakel.


6. Diganggu Selepas Kematian Nenek


Aku memang rapat dengan nenek. Mungkin kerana dia yang membesarkan aku sehingga usia ku lima tahun. Walaupun aku jauh di bandar bersama kedua orang tua dan adik-beradik ku yang lain, namun ingatan ku terhadap atuk nenek yang telah menjaga ku tidak pernah luntur. Pantang ada cuti pesekolahan, pasti pulang menemankan atuk dan nenek kampung. Nenek memang telah lama hidap penyakit jantung.

Memang, ibu menyatakan hasrat untuk membawa nenek duduk dengan kami di bandar, namun memikirkan atuk yang tidak mahu berpindah harapan itu hanya tinggal harapan, pun kalau boleh mana mungkin meninggalkan kampung halaman sebati dalam dirinya. Jadi sakit atau sihat, susah atau senang, hanya atuk dan nenek yang menanggung berdua. Nak harapkan anak-anak yang lain, semuanya tidak berduit. Hanya ibu tempat atuk dan nenek mengharap. Tapi kami semua tinggal jauh di Kuala Lumpur. Memang sukar untuk menjenguk ke kampung setiap masa. Itulah masalah yang melanda, sehinggalah nenek menghembuskan nafas terakhir bila kesakitannya sampai ke kemuncak.

Aku benar-benar terkilan kerana nenek tidak menunggu aku menamatkan pelajaran. Aku mengharapkan untuk membantu nenek dan atuk sesudah tamat pengajian ku di universiti nanti. Biarlah aku bekerja di kampung. Dapat juga menemankan mereka yang kesunyian. Tapi ajal dan maut di tangan tuhan. Nenek pergi sebelum sempat merasa wang gaji ku terlebih dahulu. Kini aku menghabiskan percutian semester akhir sambil menemani atuk di kampung. Seperti nenek, atuk pun berkeras tidak mahu berpindah. Biarlah, hati orang tua jangan diusik. Jangan sampai mereka tersinggung.

Sedang aku melayani perasaan, tiba-tiba terdengar bunyi jendela terbuka dan tertutup. Ku cuba amati dengan lebih jelas. Sahlah bunyi itu datang dari arah ruang hadapan rumah. Siapa pula yang buka jendela malam-malam buta ni? Takkan atuk tak tidur lagi. Aku mengambil keputusan untuk membiar-kan saja hal itu. Mungkin mainan perasaan ku barangkali. Ku kerling jam di kepala katil yang kini sudah menunjukkan jam 2 pagi. Hati ku makin tak sedap. Ku cuba pejamkan mata rapat-rapat. Tiba-tiba terdengar lagi bunyi pintu dan tingkap terbuka. Kali ini lebih kerap. Angin malam yang tadinya menyamankan tiba-tiba bertiup ganas. Aku bingkas bangun dari katil dan berhajat keluar bilik untuk memastikan keadaan di luar. Saat aku ingin memulas tombol pintu bilik, dada ku berde-bar tidak menentu.

Pelik. Takkan hanya aku seorang yang perasan sedangkan atuk seolah tidak terdengar langsung bunyi tersebut. Bunyi daun tingkap dan pintu berkeriut makin galak. Telinga ku sudah tidak tahan lagi. Aku mesti keluar dari bilik demi memastikan apa yang terjadi. Sebaik saja pintu bilik ku terbuka, aku terus menerpa ke bilik atuk dan mengetuk daun pintu biliknya bertalu-talu.

"Ada apa, Fatin. Kenapa masih tak tidur lagi?" Tanya atuk sambil memisat-misatkan matanya yang hampir rabun itu.
"Atuk , Fatin nak minta atuk temankan Fatin tutup tingkap dan pintu. Dari tadi berkeriut ditiup angin kencang."
"Ye, ke? Atuk tak sedar pun." Kata atuk sambil jarinya menekan suis lampu ruang tamu dalam cahaya lampu dapur yang samar-samar itu.
Aku membuntuti atuk berjalan menghala ke ruang tamu.
"Mana ada pintu terbuka. Tengoklah, Fatin. Bukankah masih terkunci ni?" Kata atuk sambil meninjau ke semua jendela dan pintu yang terdapat di ruang tamu rumah itu.Aku mula menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
" Tapi, Tokl betul Fatin dengar. Tadi ia terbuka dan tertutup beberapa kali. Angin kuat tadi, Tok." Kata ku membela diri.

Aku rasa aku masih belum nyanyuk lagi untuk membezakan antara realiti dan fanfasi.
"Sudahlah Fatin, tak ada apa-apa. Mainan perasaan aje tu. Dah, pergi masuk tidur. Esok kan kita nak ke kubur arwah nenek?" Atuk dengan pantas memujuk hati ku.
Aku benar-benar hampa dan fikiran ku tidak putus-putus memikirkan apa yang telah terjadi sebentar tadi. Penat berfikir mata ku yang sedia berat makin melabuhkan tirainya. Tba-tiba terdengar bunyi mengesot dari dalam bilik ku.

"Fatin!.heeeeeeee..." Bunyi hilaian benar-benar membuatkan aku kaget.
Sambil mulut ku terkumat-kamit membaca ayat kursi, aku dengan pantas memulas tombol pintu dan menerobos ke bilik atuk yang tidak berkunci.
"Ada apa ni, Fatin?" Tanya atuk kehairanan melihat aku yang kalut tak menentu.
"Atuk, teman Fatin tidur kat ruang tamu!" Pinta ku sambil berharap atuk faham situasi yang melanda ku ketika itu.
"Emm, dah ambilkan tilam dan bantal tu." Kata atuk mengarahkan dan aku bertekad mahu menceritakan perkara itu pada atuk esok hari saja.


7. Bertarung Dengan Penunggu


Gempar penduduk Kampung Penanti apabila terdengar bermacam malapetaka berlaku di kawasan pokok terap yang terletak tidak jauh dari kampung itu. Siang dan malam kawasan itu bergegar seperti berlaku pertarungan berebut sesuatu. Kadang-kala terdengar seperti ribut taufan melanda kawasan itu. Dahsyat!... bagaikan tercabut pokok dibuatnya, tapi tiada tanda angin bertiup kencang. Pokok yang tumbuh merimbun tetap kaku membisu.

Penduduk faham dan arif dengan situasi tempat itu. Tidak seorang pun berani menjenguk kawasan berkenaan. Kawasan itu ditumbuhi sebatang pokok terap sebesar sepemeluk yang dianggap berpenunggu. Bercelaru otak mereka memikirkan kejadian yang belum pernah berlaku selama beratus tahun mereka tinggal di kampung yang jauh di pedalaman itu. Hendak dikatakan binatang buas berkelahi, suara sedikit pun tidak kedengaran.

Suatu hari Pak Dollah, antara ahli kumpulan yang terbabit merintis laluan untuk dijadikan jalan dari kampung itu ke sebuah pekan, diberitahu mengenai kejadian pelik itu. Pak Dollah terkejut apabila mendengar kisah itu. Dia turut berasa bimbang jika kejadian itu ada kaitan dengan perbuatan makhluk halus yang cuba mengganggu keselamatan penduduk.

“Hamidun, kamu beritahu penduduk supaya bertenang. Kejadian itu di luar kemampuan kita untuk mengatasinya. Aku tahu apa sebenarnya berlaku di situ.
“Pertarungan antara dua pihak kini berlaku di situ. Mereka bertarung di alam lain. Kita tidak nampak mereka,” Hamidun pulang ke rumah sebaik mendengar penjelasan Pak Dollah.

Kejadian aneh yang membimbangkan penduduk itu mengingatkan Pak Dollah kepada peristiwa yang dialaminya ketika merintis jalan sebulan sebelum berlaku kejadian berkenaan. Pak Dollah dan 20 penduduk lain diberi tugas merintis jalan kira-kira tiga kilometer dari kampung itu ke sebuah pekan bagi memudahkan penduduk berurusan di pekan terbabit.

Bagaimanapun, kumpulan perintis jalan diketuai Pak Dollah tidak dapat meneruskan usaha kerana terhalang oleh sebatang pokok terap yang dipercayai berpenunggu. Pokok hutan itu yang berbanir tujuh tumbuh betul-betul di tengah laluan. Mereka sepakat menebangnya, tapi ada saja halangan dihadapi. Kapak yang digunakan patah dan dua rakan Pak Dollah secara tiba-tiba pengsan ketika membaiki kapak yang rosak.

Pada hari itu, mereka terpaksa pulang. Dalam perjalanan, dua rakan yang pulih dari pengsan berasa pening kepala yang amat sangat. Mereka terpaksa dipapah pulang ke rumah masing-masing.Pak Dollah yang membuntuti rakan yang lain berasa ada sesuatu mengekorinya menyusuri di celah anak pokok. Di toleh kiri dan kanan tapi tidak kelihatan apa pun.

Keesokannya, mereka menjalankan tugas seperti biasa. Kali ini ujian lebih getir menimpa mereka. Ketika kapak dihayun untuk menebang pokok terap itu, kedengaran seolah-olah beberapa pokok lain tumbang. Bertempiaran mereka lari menyelamatkan diri. Pak Dollah yang kuat semangat sempat memerhatikan sekitar, tetapi tidak kelihatan sebatang pokok pun tumbang.

Menyedari ‘kekebalan’ tempat itu sukar ditembusi, Pak Dollah mengambil keputusan mendapatkan khidmat Tok Guru Semaun, guru silat disegani di kampung berkenaan. Tok Guru Semaun berusia 70 tahun berasal dari negara jiran seberang Selat Melaka dan membuka tiga gelanggang silat di kampung itu, setuju dengan saranan Pak Dollah.Bagaimanapun, sebelum melaksanakan misi, Tok Guru Semaun mengingatkan Pak Dollah supaya merahsiakan perkara itu. Beliau tidak mahu kehebatannya diwar-warkan. Pak Dollah akur dengan arahan Tok Guru Semaun.

“Beritahu orang ramai, jangan panik jika terdengar sesuatu yang pelik berlaku di kawasan pokok itu,” beritahu Tok Guru Semaun.

Seminggu lamanya Tok Guru Semaun bertarung untuk mengusir penunggu pokok terap itu. Segala ilmu kebatinan dimilikinya digunakan bagi menumpaskan penunggu degil itu.Anak pokok serta tumbuhan lain di sekitar pokok terap itu ranap akibat pertarungan antara Tok Guru Semaun dan penunggu berkenaan. Kesan pada kulit pokok yang berkecai menunjukkan sengitnya pergelutan mereka.

Tok Guru Semaun sedikit pun tidak beri muka untuk menundukkan penunggu yang dipercayai dari jenis jin itu. Dia mahu membuktikan manusia adalah makhluk yang tidak akan sujud kepada iblis dan syaitan.Masuk hari ke lapan, penduduk dikejutkan dengan kejadian sebatang pokok terbakar bagaikan disambar petir. Keesokannya, kelihatan Tok Guru Semaun selamba berjalan pulang ke rumah.

“Dollah, ajak orang kampung meneruskan kerja menebas dan merintis jalan itu. InsyaAllah, tiada lagi gangguan di kawasan berkenaan.
“Kita perlu ada jalan supaya orang kampung boleh menjalankan pelbagai urusan seperti berniaga dan membeli barang keperluan di pekan berkenaan.
“Jika ada apa-apa masalah, jangan segan beritahu saya. Saya akan tolong setakat yang boleh,” jelas Tok Guru Semaun.

Sambil menyuap kuih bingka ke mulut, Pak Dollah merenung ke arah muka Tok Guru Semaun. Berkata hatinya...bukan calang-calang, orang tua ni.Sejak kampung berkenaan mempunyai jalan, penduduk giat menjalankan perniagaan di pekan terbabit. Pelbagai hasil kampung seperti sayuran dan ternakan di jual di situ.Malah, Tok Guru Semaun sendiri mula berminat berniaga. Seminggu sekali, dia ke pekan terbabit menjual ayam kampung, akar kayu dan sayuran.

Bagi memastikan tanaman serta ternakan penduduk tidak dimusnahkan musuh tanaman, Tok Guru Semaun memberikan petua supaya tanaman dapat ditanam tanpa gangguan binatang seperti baik dan kera.Di samping itu, Tok Guru Semaun mengingatkan penduduk yang berniaga supaya tidak mementingkan keuntungan, menjual barang dengan harga tinggi dan menipu pelanggan.

Nasihat beliau diterima penduduk kampung itu. Berikutan itu, ramai di kalangan penduduk berjaya menjalankan perniagaan masing-masing.Walaupun terpaksa berjalan kaki ke pekan berkenaan, mereka tabah membawa hasil pertanian untuk dijual bagi menambah pendapatan untuk menyara keluarga.

~TAMMAT~
~~selamat membaca~~

0 comments: